TEMUBUAL DENGAN WARTAWEB ALAF 21
Selamat datang ke dunia penulisan novel tanah air.
Terima kasih kerana mengalu-alukan kehadiran saya ke dalam dunia penulisan novel.
Sebagai novel pertama, anda telah berjaya memotivasikan para pembaca dengan Dekat Di Hati. Ceritanya simple tapi berkesan. Banyak juga maklumat yang boleh dijadikan amalan dan panduan hidup. Barangkali anda banyak bahan kerana anda juga seorang fasilitator kursus. Tapi mengapa menulis pula?
Alhamdulillah, apabila saudari dapat mengesan rencah-rencah motivasi di dalam Dekat Di Hati. Stephen King dalam bukunya On Writing, berkata, ..novel adalah alat komunikasi secara telepathy di antara penulis dan khalayak pembacanya. Justeru itu, saya harap dapat berkomunikasi pula dengan semua pembaca melalui Dekat Di Hati. Inilah sebenarnya antara sebab mengapa saya menulis.
Dalam novel Dekat di Hati, anda telah membina lenggok bahasa dan garapan yang tersendiri. Maksudnya di sini, jika novel kedua kelak, pembaca boleh menduga/meneka bahawa lenggok bahasa itu adalah milik Eyman Hykal.
Saya tidak perasan akan kelainan lenggok bahasa saya. Namun dari segi garapan, tentu sekali sebagai individu, saya ada perbezaan kerana punyai perbendaharaan kata yang berlainan serta rentak dan tempo perjalanan cerita yang pelbagai seperti mana penulis-penulis lain.
Adakah anda memang sengaja untuk lari dari dibayangi lenggok bahasa dan apa sahaja yang dianggap oleh pembaca fanatik sebagai milik penulis lain sebab ada juga berlaku klon penulis seperti juga klon penyanyi? Sila jelaskan...
Sebenarnya, saya tidak hendak lari dari lenggok bahasa mahupun garapan penulis yang sudah ada. Malah saya ingin mengendeng agar menghampiri lenggok bahasa novel-novel penulis yang ada agar para pembaca boleh berselera membacanya. Diumpamakan jika penulis lain menghidangkan roti canai, roti bom, capati, tose atau roti nan, saya tak boleh hidangkan nasi lemak, tetapi sekurang-kurangnya lempeng kerana ia punyai persamaan dari segi cara buatan dan bahannya!
Novel Dekat Di Hati di tangan Eyman Hykal ternyata mampu meletakkan pembaca dalam keadaan saspens, tegang, lucu dan berteka-teki dengan watak-watak lelaki. Tapi... novel ini mungkin lebih merangsang emosi pembaca jika ditulis oleh wanita kerana sudut penulisan mereka akan menyentuh banyak tentang gejolak perasaan Noraini yang terkapai-kapai ditinggalkan suami. Hasilnya, pembaca akan sebak dan menitiskan air mata pastinya. Setuju atau tidak dengan pendapat/pandangan ini iaitu saudara sebagai penulis lelaki juga kurang mahir dalam melonjakkan emosi pembaca berbanding penulis wanita. Sila komen...
Bagi saya, ia bukannya soal mahir atau tidak kerana adalah soal tumpuan garapan. Maksud saya, watak-watak utama Dekat Di Hati adalah lelaki yang dari segi nalurinya berat menggunakan otak kiri iaitu otak rasional berbanding dengan wanita yang banyak menggunakan otak kanan yang lebih beremosi. Oleh itu saya tidak mengangkat soal-soal emosi wanita seperti Noraini, Nurul Efna mahupun Ayu Fatiha. Andaikata watak utamanya perempuan, tentu sekali saya akan banyak menggunakan emosi kerana ia sesuai dengan fitrah wanita.
Mungkin ketika ini anda sudah menerima pelbagai komen dari para pembaca tentang Dekat Di Hati?
Mereka yang telah membacanya secara jujur iaitu dari halaman ke halaman mengatakan novel ini lain dari yang lain. Ada yang sudah membaca buat kali kedua untuk menikmati kembali mood ceritanya. Yang lelaki sukakan scene-scene pergaduhan, yang wanita sukakan input-input mengenai keselamatan diri serta adab sopan. Sebilangan golongan remaja menyukai konflik di antara Nurul, Izuddin dan Ayu kerana ketiga-tiga watak ini mempunyai cara bercakap, berfikir dan bertindak seperti remaja.
Apa reaksi anda?
Selama ini saya memang kagum dengan kekuatan novel sebagai genre sastera. Seseorang boleh duduk berjam-jam menatap sebuah novel yang sebenarnya percakapan penulis kepada pembaca. Sebaliknya jika seseorang bercakap di depan kita, kita akan mula gelisah kerana bosan dalam waktu yang singkat. Maknanya, novel boleh memukau minda seseorang!
Jika tidak menjadi rahsia, apa perancangan anda tentang novel kedua pula?
Saya sedang membina foundation dan pemilihan watak-watak yang berbeza dari watak-watak di dalam Dekat Di Hati. Ehem, watak utamanya adalah wanita!
Pastinya pembaca mengharapkan yang lebih baik dan itu adalah tekanan yang wajib dihadapi oleh setiap penulis. Semoga Eyman Hykal terus berjaya.
Terima kasih di atas pujian dan doa saudari.
26.5.05
www.alaf21.com.my
TEMUBUAL DENGAN BERITA HARIAN
NORDEN MOHAMED menggunakan nama pena Eyman Hykal ketika berkarya. Novel pertamanya, Dekat Di Hati terbitan Alaf 21 sudah berada di pasaran dan kini dalam proses menyiapkan novel keduanya. Ikuti wawancara wartawan Sastera dan Budaya, SHAIDAH SHAFIE, dengan beliau.
BAGAIMANAKAH timbul idea menulis novel?
Saya pernah menulis puisi, cerpen dan rencana sebelum ini. Ada semacam rasa kepuasan apabila berjaya menyiapkan tulisan berkenaan walaupun pendek. Novel adalah genre yang belum pernah saya terokai sebelum ini. Menulis puisi boleh diibaratkan seperti berlari 100 meter. Menulis cerpen pula boleh diibaratkan seperti larian 1,500 meter. Menulis rencana bagai lari lompat pagar manakala menulis novel pula seperti larian jarak jauh. Saya ingin melalui ‘larian jarak jauh’ yang boleh menguji minda. Bertitik tolak daripada situ lahirlah novel pertama saya, ‘Dekat Di Hati’ (DDH).
Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyiapkan novel sulung itu?
Lebih kurang sembilan bulan.
Apakah novel bertema cinta menjadi pilihan Norden?
Hendak dikatakan novel cinta 100 peratus tidak juga. Melalui DDH, saya membawa pembaca meneroka perasaan yang dikatakan sebagai bibit cinta atau pra-percintaan. Aspek ini jarang digarap penulis lain. Selain itu saya memilih kasih sayang sebagai perasa cerita. Sikap bertanggungjawab dan kesetiaan adalah tunggak perasaan yang saya garap dalam DDH.
Apakah kekuatan DDH?
Dialog. Saya amat berhati-hati dengan dialog kerana ia memberi kesan semasa kepada pembaca. Melalui dialog, saya sengaja menyuntik elemen perdebatan dan kaunseling. DDH juga mendekatkan pembaca dengan bahasa gerak-geri iaitu satu bidang psikologi yang kini menjadi semakin penting.
Siapakah yang mendorong Norden menulis?
Sebetulnya saya sendiri tidak menduga yang saya berupaya menulis novel. Bertugas sebagai Pengurus Besar Alaf 21 Sdn Bhd menjadikan saya sentiasa bergelumang dengan banyak manuskrip daripada penulis yang menghantar karya mereka. Setiap hari saya membaca dan meneliti manuskrip berkenaan. Ada penulis yang mencabar saya dengan kata-kata saya hanya pandai mengedit dan mengkritik penulis lain. Saya menyahut cabaran itu. Saya ingin turut merasai getir menulis dan menyiapkan buku. Kini saya sudah tahu bagaimana rasanya menulis buku. Selain itu, bahan bacaan mengenai teknik menulis novel sentiasa ada di sekeliling saya, menjadikan perasaan saya semakin teruja untuk mencuba genre yang lebih berat iaitu novel.
Bagaimanakah proses mengarang Norden?
Lain orang lain caranya. Pada peringkat awal untuk berkarya, saya mencuba permainan komputer ‘The Sims’ untuk mendapat keinginan dan merangka watak. Kemudian saya memilih berjalan-jalan ke gedung membeli belah KLCC atau membongkar majalah yang dalam simpanan saya untuk lebih mendalami watak. Proses ini mengambil masa dua bulan. Saya juga mengunjungi tempat yang saya pilih sebagai latar bagi meneliti kedudukan lokasi dan merakamnya. Setelah selesa dan kenal dengan watak serta latar, proses berkarya saya bermula.
Tidakkah Norden terlambat menerjuni bidang ini?
Sama sekali tidak. Saya mungkin terlalu tua untuk memasuki Malaysian Idol atau Akademi Fantasia. Bagaimanapun dalam bidang penulisan, cerita yang perlu diutamakan. Tua atau muda penulisnya, soal kedua. Dari segi pengalaman, sebenarnya saya masih terlalu muda kerana belum cukup ilmu dalam bidang penulisan novel.
Siapakah pengarang idola Norden?
Kalau pengarang Barat, saya mengikuti karya Dan Brown, Michael Crichton, Stephen King manakala penulis Malaysia pula, Ramlee Awang Murshid. Saya meminati gaya penulisan Ramlee.
Pernahkah Norden menghadapi kebuntuan menyiap bab tertentu?
Ada juga tetapi kebuntuan yang saya hadapi adalah dari aspek masa. Hambatan kerja menyebabkan masa berkarya terbatas dan saya terpaksa menggunakan teknik ‘touch and go’. Walaupun sekejap, saya cuba melayani ilham. Waktu menulis saya tidak menentu. Kadangkala jam 1 tengah hari, sebelum dan selepas Maghrib. Ada ketikanya sebelum Subuh asalkan ada idea mendatang.
Ada pembaca menganggap novel cinta sekadar bacaan ringan. Apakah pandangan Norden?
Tanggapan sedemikian lahir daripada kalangan yang kurang membaca karya kreatif. Mungkin saya salah. Agaknya kerana itulah mereka hanya kenal istilah 'cinta' semata-mata. Andainya mereka mula membaca 'novel cinta', mereka akan menemui istilah kasih, sayang, setia, ikhlas dan pengorbanan. Malahan, andainya mereka mula membaca novel cinta yang banyak di pasaran, sensitiviti mereka terhadap perasaan akan lebih tajam. Akhirnya mereka akan menjadi insan prihatin.
Apakah projek terbaru yang sedang Norden tangani?
Mencari bahan untuk menyudahkan novel kedua. Pada saat ini saya naik dan turun LRT mencari insan yang sesuai sebagai watak di dalam novel ini.
16.6.05
BERITA HARIAN; Bicara Pengarang
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Sastera/20050616081754/Article/

ULASAN NOVEL DEKAT DI HATI
DEKAT DI HATI karya Eyman Hykal mengetengahkan usaha Johan kembali ke pangkuan keluarganya yang ditinggalkan, sekali gus cuba memenangi hati dua anaknya, Izuddin dan Izatti serta memujuk isterinya, Noraini.
Johan meninggalkan keluarga kerana terasa rendah diri disebabkan tidak berpelajaran tinggi dan terpaksa berdepan dengan keluarga isterinya walaupun dua mentuanya menghargai kerajinan dan ketekunannya mencari rezeki.
Pada awalnya, Izuddin dan Izatti tidak dapat menerima kehadiran Johan kerana beranggapan ayah mereka meninggalkan keluarga kerana tidak bertanggungjawab sehingga Johan terpaksa mencari jalan untuk menundukkan keegoan anaknya.
Izuddin yang sudah mempunyai kekasih, Nurul Efna, bersetuju mengikut kehendak ayahnya untuk belajar menguruskan perniagaan nasi ayam secara kecil-kecilan di kampung halaman.
Ketika bertungkus-lumus mengusahakan perniagaan itu, Izuddin berkenalan dengan gadis kampung, Ayu Fatiha, yang meminati pantun manakala Izatti pula terasa kehilangan ibu dan abangnya apabila mereka semakin rapat dengan Johan.
Dapatkah hati Noraini, Izuddin dan Izatti dipujuk oleh Johan serta dapatkah beliau menyatukan keluarganya? Jawapannya akan diketahui dengan membaca novel setebal 431 halaman terbitan Alaf 21 Sdn Bhd berharga RM17 senaskhah.
2.6.05
BERITA HARIAN; Dunia Buku
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Sastera/20050602074504/Article/